
Pasukan wanita Negeri Sembilan FC (merah) turut mengambil bahagian dalam WSL edisi pertama. Foto: NSFC
PERSATUAN Bolasepak Selangor (FAS) telah melancarkan Liga Super Wanita (WSL) dengan harapan membangunkan dan melatih lebih ramai pemain dan pegawai bola sepak wanita di negara ini.
Setiausaha Agung FAS, Izrin Nabil Ismail berkata, sebanyak 1o pasukan akan bertanding dalam musim pertama pertandingan liga buat wanita yang julung kali diadakan pada peringkat negari bermula 29 November hingga 19 Januari tahun depan, di Radia Arena Bukit Jelutong.
Katanya, FAS turut menyasarkan peningkatan berganda kepada 20 pasukan yang akan bertanding dalam dua peringkat menjelang 2023.
"Untuk tahun ini sahaja, pelbagai pihak menunjukkan minat yang besar terhadap liga itu, termasuk agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi, namun mereka tidak dapat bersiap sedia kerana kesuntukan masa, ditambah pula dengan cabaran pandemik Covid-19," jelasnya kepada pemberita selepas pelancaran dan pengundian WSL pada Sabtu.

"Saya berpendapat komponen paling penting untuk bola sepak ialah liga. Apabila kita ada liga, semua akan berjalan lancar. Harapnya dengan usaha kami, lebih ramai wanita dan kanak-kanak perempuan akan menyedari bahawa mereka mempunyai platform untuk bermain dan menggunakan peluang pergi lebih jauh.
"Mungkin ramai pemain berbakat yang belum dikenali akan dapat dilihat dan diintai. Kita juga berharap untuk mencungkil lebih ramai dalam ekosistem bola sepak seperti pengadil, pegawai dan pentadbir," katanya.

Menurut Izrin pemain musim ini secara purata berusia 24 tahun dan paling muda berusia 13 tahun, manakala paling senior berusia 34 tahun, sekaligus menyaksikan keseimbangan antara pemain muda dengan berpengalaman, termasuk para pelajar sekolah sukan.
Terdahulu, Presiden FAS dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah merasmikan WSL. -Bernama
No comments:
Post a Comment