[New post] MASJID, GEREJA, KUIL TEMPAT SAMBUTAN 2022 DOAKAN KESEJAHTERAAN MALAYSIA
Admin posted: " KUALA LUMPUR: Masyarakat Malaysia berbilang agama menyambut tahun baru 2022 dengan mendoakan kesejahteraan negara serta menghormati mangsa banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini. Hal ini berikutan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri "
KUALA LUMPUR: Masyarakat Malaysia berbilang agama menyambut tahun baru 2022 dengan mendoakan kesejahteraan negara serta menghormati mangsa banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini.
Hal ini berikutan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyarankan agar sambutan tahun baru kali ini dibatalkan sebaliknya diganti dengan solat hajat dan doa selamat sebagai menghormati dan bersimpati dengan mangsa banjir.
Masyarakat Islam melakukan solat hajat selepas solat Maghrib di masjid terpilih di seluruh negara sementara masyarakat bukan Islam turut melakukan upacara berdoa di rumah ibadat masing-masing.
Di Putrajaya, Perdana Menteri menyertai lebih 500 jemaah di Masjid Putra untuk bersolat hajat dan berzikir bagi mendoakan kesejahteraan negara sempena tahun baru 2022.
Beliau tiba di Masjid Putra kira-kira 7.15 malam diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad untuk menunaikan solat Maghrib diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra Salahuddin Ghozali diikuti solat hajat.
Ia disusuli bacaan zikir istighasah (memohon pertolongan) dan zikir munajat yang dipimpin selebriti Munif Ahmad dan bacaan doa Buatmu Malaysia oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yadim Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.
Turut serta ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Di ibu negara, Gereja St. Mary's Cathedral melakukan upacara sembahyang tahun baharu kali ini secara dalam talian berikutan penularan COVID-19 selain memudahkan penyertaan penganut agama Kristian seluruh negara.
Pegawai Tadbir gereja tersebut, Wong Yoke Ling berkata upacara tersebut akan dibuat dibuat di platform Zoom, malam semalam bermula 11.30 malam semalam.
"Upacara tersebut diketuai oleh Dekan (Dean of St Mary's Cathedral) Rev Dr Andrew Cheah," katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.
Selain itu, Gurdwara Sahib di ibu negara turut mengadakan upacara sembahyang menyambut tahun baharu bermula 6 petang hingga 12 malam ini dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dan dipantau Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Setiausahanya, Harpal Singh berkata pihaknya tidak dapat menjalankan upacara tersebut secara dalam talian berikutan kekangan tertentu di pusat ibadah itu.
"Upacara sembahyang ini adalah doa kesyukuran berakhirnya 2021 dan menyambut tahun baharu esok sekali gus mendoakan kesejahteraan semua rakyat negara diberi kesihatan yang baik. Doa ini untuk semua tanpa mengira agama penduduk Malaysia," katanya. –AlHijrah Online
No comments:
Post a Comment