MINI, jenama automotif premium kompak yang tercanggih di Malaysia hari ini telah memperkenalkan MINI Clubman Final Edition untuk pasaran tempatan.
Pengarah Urusan BMW Group Malaysia Hans de Visser, memaklumkan dekad demi dekad, MINI Clubman terus menjadi simbol kepada seni reka kereta yang bersifat abadi dan juga prestasi pemanduan yang mengagumkan.
"Kami berasa amat teruja untuk merungkaikan MINI Clubman Final Edition di Malaysia, kerana ia membolehkan kita untuk bukan sahaja memberi penghormatan kepada legasi dan sejarah MINI Clubman yang begitu kaya, tapi juga kepada komuniti para peminat MINI yang kian berkembang dan terus menjadi tunjang kepada kejayaan jenama ini.
"Satu penghormatan yang layak diberikan, kini hadir untuk alaf yang baharu, MINI Clubman Final Edition
merupakan simbol individualiti yang versatil," katanya menerusi kenyataan media.
Terhad kepada 20 unit sahaja di Malaysia, MINI Clubman Final Edition didatangkan dengan reka bentuk yang kemas lagi praktikal, ia meraikan tahun jentera Clubman dibina buat pertama kali pada 1969, dengan bahan-bahan yang diperhalus di samping aneka dekorasi serba eksklusif dalam bentuk aksen Shimmer Copper.
Ruang interior yang luas serta pintu but terbahagi yang unik menggandingkan ciri-ciri kefungsian dengan teknologi automotif yang canggih bagi menaik taraf prestasi kenderaan tersebut, justeru merealisasikan pengalaman pemanduan alaf baharu sambil terus berpegang kepada tarikan yang mendefinisikan jentera Clubman klasik.
MINI Clubman Final Edition menyerlahkan aura keeksklusifan dengan aneka perincian yang unik pada komponennya. Bampar dan gril hadapan serba baharu dipadankan dengan trim Shimmer Copper yang menawan, menonjolkan iras gah sebuah jentera MINI. Untuk menonjolkan elemen warisan sukan perlumbaan jenama ini.
MINI Clubman Final Edition memperlihatkan ketutup sisi yang eksklusif, berglos tinggi pada dapra hadapan, ia turut mempamerkan tandatangan "Final Edition".
Ini, bersama dengan MINI Cooper S blade di bahagian gril yang turut dihiasi dengan Shimmer Copper menambah sentuhan individualiti yang istimewa untuk edisi tersebut.
MINI Clubman Final Edition turut mencuri perhatian dengan elemen-elemen Piano Black yang menghiasi kereta tersebut dari hadapan hingga ke belakang, memberikan sentuhan yang tampak lebih karismatik pada lampu hadapan, pemegang pintu, dan juga bibir ekzos.
Bukan itu sahaja, MINI Clubman Final Edition juga mengenakan set roda aloi ringan 18 inci dalam bentuk ruji Final Edition dengan corak grafik 2 tona dan rona Shimmer Copper, menjadikannya lebih menarik untuk
dilihat.
Memperkayakan aspek individualiti MINI Clubman Final Edition, setiap kenderaan akan memaparkan lencana "1 of 1969" pada tiang C serta "Final Edition" di belakang yang menyerlahkan lagi keeksklusifannya.
Berpegang kepada janji versatiliti Clubman, MINI Clubman Final Edition hadir dengan pintu but terbahagi yang menawarkan akses kepada ruang muatan yang luas, dengan kapasiti maksimum berjumlah 1,250 liter.
Di dalam, MINI Clubman Final Edition masih membawakan pelbagai perincian bertema edisi khas dengan rangkuman emblem "Final Edition" pada ruji stereng Nappa Leather yang bersifat ergonomik.
Penghurufan tersebut yang tampak halus namun menawan juga terdapat di ambang pintu, sementara hamparan lantai Velor mengenakan lencana "1 of 1,969", menyerlahkan lagi individualiti dan tarikannya.
Dikemasi dalam Leather Dark Maroon, fabrik pique MINI Yours yang serba sporty di samping sulaman berkontras juga dapat dilihat di tempat duduk, dengan kemudahan sokongan paha yang boleh dilaras untuk menaik taraf aspek keselesaan dan juga kelas.
Bukan itu sahaja, rivet Final Edition yang dibentuk menggunakan laser, dalam rona Shimmer Copper atau Enigmatic Black, turut menyempurnakan tatareka jentera ini yang unik.
Pemandu dapat menikmati ciri-ciri spesifikasi bertaraf tinggi yang ditawarkan oleh MINI Clubman Final Edition menerusi skrin paparan sentuh 8.8" dengan MINI Navigation System, Apple CarPlay
dan juga Papan Pemuka Digital yang benar-benar inovatif.
Ciri-ciri kefungsian lain meliputi Comfort Access, Kamera Mengundur dan Bantuan Parkir yang merangkumi Kawalan Jarak Parkir Hadapan, sementara elemen hiburan di dalam kenderaan dibekalkan melalui sistem bunyi keliling HiFi Harman Kardon.
MINI Clubman Final Edition dikuasakan oleh enjin MINI TwinPower Turbo 2 liter, yang menjana 192 kk serta tork bernilai 280 Nm, ia mampu membuat pecutan abad dalam masa 7.2 saat dengan kelajuan tertingginya yang mencecah 226 km/j.
Digandingkan dengan Transmisi Automatik Sport Dwiklac Tujuh Kelajuan, kenderaan ini menawarkan keupayaan penukaran gear yang pantas, menyelesakan selain mempunyai efisiensi yang optimum.
Kelengkapan standard meliputi sistem Bantuan Memandu yang membekalkan bantuan lampu puncak, info had kelajuan, amaran pejalan kaki dengan fungsi pembrekan ringan (light city braking), dan amaran kawalan penghampiran objek (approach control warning) dengan fungsi pembrekan ringan, membuktikan ketinggian standard keselamatan jentera ini.
MINI Clubman Final Edition akan disediakan dalam tiga warna yang menawan – Nanuq White, Melting Silver III dan Enigmatic Black.
No comments:
Post a Comment